Tuesday, February 2, 2016

Pertama kali menaiki kapal terbang

Kapal terbang merupakan salah satu jenis pengangkutan yang boleh kita guna untuk pergi ke destinasi pilihan. Sama ada destinasi dalam negara mahupun destinasi luar negara. Alhamdulillah, seumur hidup ni, sudah beberapa kali berpeluang untuk menaiki pesawat ke destinasi dalam dan luar negara.
Artikel kali ini sekadar ingin berkongsi perkara yang anda perlu tahu sekiranya ini merupakan pertama kali anda ingin menaiki kapal terbang ke destinasi pilihan. Aku tulis benda ni sebenarnya untuk seorang sahabat yang ingin mengetahui bagaimana langkah demi langkah yang beliau perlu ikuti sekiranya beliau ingin menaiki kapal terbang. Semoga panduan ringkas ini akan memberi manfaat kepada semua yang mempunyai masalah yang sama.
Pengalaman pertama kali menaiki kapal terbang

Pertama kali aku menaiki kapal terbang, aku sendiri mempunyai pelbagai persoalan, apa prosedur yang perlu aku ikuti, macam mana dengan beg, tiket nak beli kat mana, lepas dah sampai lapangan terbang nak buat apa dan macam-macam lagi perkara yang bermain dalam benak fikiran aku. Aku rasa perkara yang sama sedang dialami oleh sahabat aku yang minta aku menulis panduan ni.

Tiket Penerbangan

Perkara pertama yang kita perlu buat adalah menempah tiket penerbangan. Sama ada ingin membuat tempahan atas talian, mahupun ke kaunter tiket ataupun wakil-wakil agensi pelancongan. Pilihlah mana-mana pilihan yang anda gemari. Kalau aku, tempahan atas talian sentiasa menjadi pilihan, sebab mudah dan cepat.
Pembelian tiket penerbangan tempatan biasanya hanya memerlukan kita untuk mengisi butiran seperti Nama, No Kad Pengenalan, Alamat, No Telefon, Email dan seumpamanya. Sekiranya kita ingin menempah tiket penerbangan antarabangsa, butiran Passport juga biasanya perlu diberikan. Kalau nak pergi luar negara, pastikan buat passport terlebih dahulu sebelum menempah tiket.

Daftar Masuk

Terdapat pelbagai pilihan daftar masuk (check-in) yang boleh kira gunakan. Antaranya online check-in, mobile check-in, atau counter check-in. Semua ini bergantung kepada keselesaan anda.
Sekiranya anda membeli tiket penerbangan Air Asia, aku syorkan menggunakan fungsi mobile atau web check-in yang disediakan. Anda hanya perlu pergi ke kaunter drop off luggage untuk beg atau bebanan yang ingin dimasukkan ke ruang simpanan kargo pesawat. Kemudian ke kiosk Air Asia untuk mencetak boarding pass anda.
kaunter daftar masuk penerbanganSekiranya anda menggunakan penerbangan lain seperti MAS, Firefly atau Malindo Air, anda hanya perlu ke kaunter daftar masuk yang telah disediakan. Sekiranya lapangan terbang kecil seperti lapangan terbang Kota Bharu, kaunter daftar masuk ini tidak banyak, anda boleh nampak terus di mana kaunter yang berkenaan. Namun begitu, sekiranya anda berada di lapangan terbang yang besar seperti KLIA, sila rujuk pada papan info untuk mengetahui kedudukan kaunter daftar masuk penerbangan anda.


Semasa di kaunter daftar masuk tersebut, kebiasaannya untuk penerbangan dalam negeri, anda hanya perlu menyerahkan kad pengenalan. Aku memang jarang-jarang mencetak kertas booking, kalau aku rajin, aku hanya tunjukkan paparan tempahan melalui telefon. Kena belajar untuk jimat-cermat menggunakan kertas demi kesejahteraan generasi akan datang (okay ni takder kaitan).

Setiap syarikat penerbangan mempunyai regulasi tersendiri mengenai jumlah beg yang anda boleh daftar masuk, sila rujuk jumlah berat ini semasa membuat tempahan tiket. Bagasi tangan yang ingin di bawa naik ke dalam kapal terbang, biasanya tidak boleh melebihi 7kg (walaupun tak pernah lagi diorang timbang) dan dimensi yang telah ditetapkan (sila rujuk kotak panduan bagasi tangan yang disediakan berdekatan dengan kaunter daftar masuk).
Sila pastikan anda tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya satu setengah jam untuk penerbangan tempatan, dan dua setengah jam untuk penerbangan antarabangsa. Ini untuk mengelakkan anda panik dan sebagainya, kalau dah biasa tidak mengapa. 😀 Tiba awal di lapangan terbang dapat mengelakkan anda daripada terlepas penerbangan. Sekiranya anda tahu lapangan terbang itu sibuk seperti di LCCT, sila berada di lapangan terbang dua tiga jam lebih awal.

Kawalan keselamatan

Selepas mendapat boarding pass, anda bolehlah menuju ke pintu tempat anda akan berlepas. Butiran pintu biasanya akan dicetak di atas boarding pass. Selain itu terdapat paparan info mengenai nombor penerbangan dan di mana pintu anda akan berlepas.
Pemeriksaan keselamatan akan dilakukan sebelum anda boleh masuk ke pintu berlepas

Sila menuju ke ruangan tempat berlepas, pemeriksaan keselamatan akan dibuat untuk anda menuju ke pintu berlepas. Sekiranya penerbangan tempatan, pemeriksaan biasanya tidaklah terlalu ketat, makanan dan minuman pun boleh di bawa tanpa masalah kecuali ada pegawai yang cerewet. Namun begitu, sekiranya penerbangan antarabangsa, ada beberapa larangan yang perlu dipatuhi, sila rujuk papan info barangan larangan di sekitar lapangan terbang.



Selepas melepasi kawalan keselamatan, sila pergi ke pintu yang telah ditetapkan. Sentiasa dengar pengumuman sekiranya ada perubahan pintu atau kelewatan penerbangan. Khuatir ada perubahan saat akhir.

Menaiki pesawat

Apabila pengumuman panggilan masuk dibuat, anda hanya perlu bertenang, sebab biasanya panggilan pertama ni untuk penumpang istimewa seperti warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan sebagainya. Panggilan seterusnya akan dibuat mengikut barisan tempat duduk anda, sila rujuk tempat duduk anda pada boarding pass yang diperolehi semasa daftar masuk tadi.
Ekori penumpang lain ke pesawat, bergantung kepada lokasi lapangan terbang, adakalanya kita perlu berjalan jauh untuk menaiki pesawat (terutama pesawat Air Asia di LCCT). Sekiranya berada di lapangan terbang seperti KLIA, anda tidak perlu keluar bangunan, terdapat ruangan laluan penumpang terus ke dalam pesawat. Semua ini bergantung kepada jenis penerbangan dan lokasi lapangan terbang.
Rehatkan diri dalam pesawat
Selepas memasuki pesawat, boleh minta bantuan pramugari sekiranya anda tidak pasti di mana kedudukan kerusi anda. Mereka pasti akan bantu anda dengan senyuman. Letak bagasi tangan di ruangan di atas atau di bawah, di depan tempat duduk anda. Aku lebih gemar letak di bawah, di depan tempat duduk, sebab senang bila nak keluar, tak perlu nak mencari-cari beg di ruangan simpanan di atas.
Pastikan tali keledar di pasang kemas, kerusi ditegakkan, meja tidak dibuka, barangan elektronik dipadamkan dan sekiranya ingin menggunakan telefon dalam pesawat selepas berlepas, aktifkan mod penerbangan sebelum memadakamkannya untuk tujuan berlepas. Barangan elektronik biasanya diminta untuk dipadamkan semasa berlepas dan mendarat untuk tujuan keselamatan.

Tiba ke destinasi

Apabila kapal terbang telah selamat mendarat, dengar arahan pramugari, keluar dari pesawat, ikut penumpang lain menuju ke bangunan terminal. Sekiranya anda mempunyai bagasi yang disimpan dalam ruangan kargo, sila pergi ke kaunter mengambil beg. Lokasi ruangan mengambil bagasi ini berbeza-beza mengikut lapangan terbang. Rujuk papan tanda untuk pergi ke ruangan menuntut bagasi.
Sila tuntut bagasi anda
Ambil bagasi anda, kemudian boleh bergerak ke pintu keluar. Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan teksi, sila buat tempahan di kaunter-kaunter yang terdapat dalam perjalanan ke pintu keluar.
Bagi penerbangan antarabangsa, setibanya di lapangan terbang, anda perlu melalui pemeriksaan kastam terlebih dahulu sebelum pergi ke tempat memungut bagasi. Ada sesetengah lapangan terbang akan meminta untuk memeriksa isi kandungan bagasi anda. Jangan panik, biarkan mereka melakukan kerja mereka dan hanya perlu jawab sekiranya ada persoalan yang dinyatakan.
Aku biasanya akan buat muka super confident semasa berjalan melepasi pegawai bertugas untuk mengelakkan mereka daripada mencurigai kita. Kekadang malas nak kena tunggu diorang periksa dan sebagainya, kalau boleh elak, lagi bagus, jimat masa dan tenaga. hehehe
Itulah sedikit sebanyak panduan daripada belian tiket sehingga tiba ke destinasi, kalau ada yang masih musykil, boleh tanya di ruangan komen.


>